Friday 23 September 2011

Hantu Bonceng – Pandangan Berbeza Bijak Pandai Agama


KUALA LUMPUR – Isu lafaz kalimah yang mengelirukan dalam filem Hantu Bonceng oleh Zizan Raja Lawak mewujudkan pandangan yang berbeza di kalangan bijak pandai agama di negara ini.
Jika sebelum ini Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasharuddin Tantawi mengeluarkan kenyataan bahawa dialog tersebut mengelirukan, kini timbul pula maklum balas dari Pendakwah Bebas, Azhar Idrus dan Juara Program TV Imam Muda, Asyraf atau dikenali sebagai Imam Muda Asyraf.
Azhar mengatakan ada dua aspek terpenting dalam isu berkenaan iaitu sama ada ia dilafazkan dengan niat untuk mempersendakan Islam atau tidak ada niat untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, dalam kes itu, Zizan mengucap kalimah  “asyhadu anna Muhammadar..syaitan” (aku naik saksi bahawa Muhammad itu..syaitan), mungkin kerana mahu membuat lawak, maka dia menambah istilah syaitan semasa memandang wajah rakannya di dalam filem itu.
Azhar menambah, walaupun ia bukanlah untuk menghina Islam tetapi tetap haram kerana mendatangkan fitnah.
Azhar di dalam rumusannya mengatakan jika diambil secara baik, Zizan tidak berniat mempersenda tetapi disebabkan kejahilan ia memberi fitnah kepadanya.
Komen Azhar mengenai isu itu dapat dilihat di laman Youtube. Beliau ketika itu menjawab soalan yang ditanya Zizan sendiri pada salah satu ceramah beliau.
Manakala pandangan imam muda Asyraf pula agak berlainan.
Beliau berkata bahawa apa yang difahami dalam dialog tersebut ialah ia bukan cercaan.
“Sy(saya) laungkan syahadah..tetiba(tiba-tiba) lalat msuk(masuk) mulut..sy smbung(sambung) syhadah dgn(dengan) kata “tuihh..lalat”..adakah sy(saya) mghina Rasul sbg (sebagai) lalat,” kata Imam Muda Asyraf yang dipetik dari laman twitter.
Beliau berkata, untuk mengatakan seseorang itu menghina nabi adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan dan sukar untuk diperhuraikan.
Filem Hantu Bonceng sebelum ini mendapat pujian atas kejayaan mengumpul kutipan tiket mencecah RM8 juta dalam masa dua minggu ia ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Namun, ia mula dikritik banyak pihak apabila dikesan mempunyai bahagian lakonan yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ia dapat dilihat pada bahagian di mana pelakon utamanya, Zizan sedang menerima rawatan di hospital dan mula menjerit bila ditegur rakannya.
Dalam bahagian itu, pada salah satu dialognya, Zizan telah menambah istilah “asyhadu anna Muhammadar syaitan” (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan). –Mynewshub.my

No comments:

Post a Comment